Warga Bangladesh Maut Dikelar Rakan

MUAR – Seorang warga Bangladesh maut dipercayai akibat dikelar rakannya menggunakan pisau selepas mereka bergaduh di sebuah asrama pekerja di Bukit Pasir di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa dikenali sebagai Arif Hossain, 25, yang mayatnya ditemui kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya sebaik menerima panggilan, sepasukan polis telah ke asrama pekerja itu dan menemui mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal, kami menahan beberapa pekerja yang tinggal di asrama berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Azman berkata polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kematian, kecederaan lain serta motif kejadian.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

0 Komentar untuk "Warga Bangladesh Maut Dikelar Rakan"

 
Copyright © 2014 News Speed - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info