Isteri polis sedih terima komen negatif di FB

Butterworth: Isteri kepada anggota polis yang parah akibat dirempuh motosikal di Jalan Permatang Tiga, Kepala Batas, dekat sini petang kelmarin sedih selepas kejadian menimpa suaminya itu menerima komen negatif di laman sosial Facebook (FB).
Dia yang dikenali sebagai Wani, 20-an meluahkan rasa sedih dengan kenyataan orang mengenai kejadian itu selepas berita mengenai kemalangan membabitkan dua motosikal itu dimuat naik di FB.
Wani dipetik berkata, tidak adil jika semua pihak menyalahkan suaminya Lans Koperal Mohd Faizudin Wahid, 25, menjadi punca kemalangan berkenaan.
Katanya, dia memohon orang ramai tidak mudah membuat sebarang andaian mengenai kejadian berkenaan dan mahu mereka mendoakan suaminya pulih dan selamat dalam kejadian itu.
“Suami saya cedera di paru-paru dan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ),” katanya.
Dalam kejadian petang kelmarin, Faizudin yang juga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) patah kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain yang memotong di garisan berkembar menyebabkan dia dan penunggang berkenaan parah.
Difahamkan, seorang lagi mangsa yang juga pelajar Ahmad Syazwan Irfan Azhar, 18, dilaporkan masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di ICU HSJ.
Ketika kejadian, dua anggota termasuk Mohd Faizudin dalam perjalanan ke IPD SPU dari arah Sungai Lokan dan melalui laluan selekoh berkenaan sebelum bertembung dengan motosikal Kawasaki RR 150 ditunggang Ahmad Syazwan yang masuk ke laluan bertentangan.
ANGGOTA polis cedera parah di kaki selepas dirempuh motosikal.

0 Komentar untuk "Isteri polis sedih terima komen negatif di FB"

 
Copyright © 2014 News Speed - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info