KUALA LUMPUR - Ribut taufan Melor atau dikenali juga sebagai Taufan Nona yang melanda Filipina semalam akan turut membawa angin kencang dan hujan lebat ke Sabah khusus di kawasan Pantai Barat, Kudat, Pedalaman dan Labuan.
Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari berkata keadaan itu dijangka berterusan sehingga Ahad ini yang sekali gus boleh menyebabkan banjir kilat.
"Diramalkan banjir kilat akan berlaku disebabkan hujan lebat dan bukannya banjir musim tengkujuh akibat musim monsun timur laut yang berlaku ketika ini," katanya.
Beliau berkata ribut tersebut yang memulakan masa pencerapannya pada 8 pagi tadi telah bergerak ke arah barat pada kelajuan 15 kilometer sejam (kmsj) dengan jarak dari bandar terdekat kira-kira 869 kilometer ke timur laut Pitas, Sabah.
"Hari ini merupakan kategori pertama pembawaan angin itu ke Sabah dan dijangka akan berlaku kategori kedua esok dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dan berkelajuan antara 50-60 kmsj ," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun Alui berkata keadaan angin ribut yang dibawa tidak akan menjejaskan penduduk dan kawasan sekitar kerana ia masih dalam kategori sederhana dan tidak membahayakan.
"Sehubungan itu penduduk dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di laut sebagai langkah berjaga-jaga kerana ia bergantung pada tahap kelajuan taufan itu membawa angin dengan jangkaan kesan daripada ribut itu masih jauh," katanya.
Beliau berkata pihaknya kini masih memantau pergerakan taufan berkenaan yang menghala ke arah barat dan menjangkakan hujan lebat di kawasan terbabit akan berlaku pada Khamis dan Jumaat ini disebabkan tempias angin ribut tersebut.
"Kebiasaannya kami mendapatkan kemas kini maklumat berkenaan ribut taufan ini dari Filipina enam jam setiap hari dan ia bergantung kepada tahap cuaca, iklim dan keadaan semasa di sana," katanya.
Semalam agensi berita Xinhua yang memetik ramalan cuaca daripada pihak Filipina melaporkan lebih 161,000 keluarga atau kira-kira 725,000 penduduk telah dipindahkan di tiga wilayah di timur dan kawasan tengah Filipina bagi mengelak ancaman ombak besar, banjir dan tanah runtuh ekoran Taufan Melor yang melanda negara itu.
Taufan Melor yang melanda Pulau Batag, selatan Samar pada pukul 11 pagi Isnin itu dijangka membuat pendaratan kedua di wilayah Sorsogon pada hari berikut
.
0 Komentar untuk "Taufan Melor landa Sabah hingga Ahad"