BAGHDAD – Keganasan Daulah Islamiyah Fil Iraq wal Syam (Daesh) atau juga disebut IS bakal lebih dahsyat di seluruh dunia susulan semua anggota kumpulan pengganas itu mengalami pemotongan gaji hingga 50 peratus.
Pemotongan terbesar dan julung kali itu terpaksa dilakukan ekoran ‘situasi luar biasa’, namun ia tidak dijelaskan secara terperinci situasi apakah dimaksudkan tersebut, lapor portal berita terkenal Russia Today pada Selasa.
Langkah pemotongan gaji secara drastik itu dipetik daripada sebuah dokumen pekeliling yang diterbitkan oleh ‘Menteri Kewangan’ Daesh dan beribu pejabat di markas pertahanan militan tersebut di Raqqa, Syria bulan lalu.
Dokumen itu diterjemahkan seorang penyelidik dari organisasi tempatan dikenali sebagai Forum Timur Tengah, Aymen Jawad al-Tamimi yang menyatakan, ia berdasarkan beberapa bayangan daripada teks ayat al-Quran.
Ia turut mengandungi potongan pendek mengenai topik ‘jihad harta’ dan ‘jihad jiwa’ serta disahkan Menteri Kewangan Daesh, Abu Muhammad al-Muhajir yang memutuskan pemotongan gaji militan itu sebesar 50 peratus.
“Dengan pertimbangan keadaan luar biasa dihadapi Daesh, diputuskan untuk memotong separuh gaji yang dibayarkan kepada semua mujahidin. Tidak ada pengecualian bagi sesiapa pun daripada keputusan ini!
“Waima apa pun posisinya dalam Daesh,” demikian salah satu klausa daripada dokumen tersebut yang juga menekankan bahawa perkara itu akan dimaklumkan sebagaimana kebiasaannya iaitu dua kali dalam sebulan.
Istilah ‘situasi luar biasa’ itu tidak jelas. Namun, sejurus dokumen itu terbongkar, pihak Pentagon atau Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) melaporkan ‘berita gembira’ yang agak mengejutkan seluruh dunia sendiri.
Ia memaklumkan bahawa serangan udara pihak antarabangsa terhadap Daesh selama 19 bulan akhirnya berjaya menghancurkan institusi kewangan milik kumpulan teroris tersebut yang menyimpan dana simpanan mereka.
Media AS pada 11 Januari lalu menyatakan, pihak Pentagon menyiarkan rakaman video yang menunjukkan serangan udara pihak bersekutu menghancurkan bangunan ‘bank pusat’ milik Daesh di Mosul, utara Iraq.
Pemerintah Komando Pusat AS, Jenderal Lloyd Austin ketika berkata kepada stesen CNN melaporkan, kempen ketenteraan tersebut adalah ‘sebuah serangan tepat’ yang berjaya menghanguskan ‘bank utama’ milik Daesh itu.
Stesen NBC pula melaporkan, puluhan juta dolar musnah dibom tentera AS dan ia menyebabkan kerugian besar memandangkan sumber kewangan Daesh diperoleh hasil penyeludupan minyak Iraq ke beberapa negara luar.
Daesh menurut sumber perisikan AS berjaya mengutip dana sehingga AS$10 juta (RM43.8 juta) setiap bulan dan ia digunakan untuk membayar gaji militan termasuk pangkat paling tinggi sekitar AS$1,000 (RM4,380) sebulan.
0 Komentar untuk "Bank Milik Daesh Dibom AS, Gaji Pengganas Dipotong 50%"