Lelaki cedera halang perompak-sabah

Kota Kinabalu: Lelaki berusia 30-an cedera selepas cuba menghalang sekumpulan tiga lelaki bersenjata melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di pekan Tuaran, dekat sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa cedera di kepala selepas dihentak dengan hulu pisau ketika berada di dalam kedai emas itu semasa kejadian pada 8.25 pagi.
Bagaimanapun, dia dilaporkan stabil selepas mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Tuaran.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan mendapati terdapat tiga lelaki kesemuanya memakai topeng, termasuk dua daripadanya disyaki menggunakan pistol dan seorang lagi menggunakan senjata laras panjang dipercayai ‘pump gun’ serta bersenjatakan kapak dan pisau.
“Ketiga-tiga suspek meluru masuk ke kedai berkenaan dan memecahkan cermin tempat simpanan emas dengan menggunakan senjata tajam dipercayai sebilah kapak,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.
Jalaluddin berkata, pelanggan dan kedua-dua pekerja yang berada di dalam kedai diarah duduk.
Bagaimanapun, katanya, mangsa yang juga pelanggan cuba bergerak dan seorang daripada suspek mengetuk kepala mangsa dengan hulu pisau.
Jalaluddin berkata, kejadian samun itu berlaku pantas hanya membabitkan beberapa minit.
“Ketika kejadian pemilik kedai sedang minum tidak jauh dari premis itu. Sebaik sahaja selesai, dia ke kedai emas dan mendapati kedainya sedang disamun.
“Suspek kemudian mengarahkannya diam dan dia membuat panggilan telefon sebaik sahaja suspek beredar menggunakan Perodua Viva, ST3893R. Selepas disemak plat kenderaan itu adalah nombor motosikal,” katanya dan menambah kedai emas itu tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Beliau berkata, OP Tutup kemudian segera dilaksanakan di daerah Tuaran dan daerah berhampiran sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.35 pagi.
Jalaluddin berkata, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai itu tetapi dirosakkan suspek, namun CCTV itu akan dihantar ke forensik untuk dikaji.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malik berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam rompakan yang berlaku begitu pantas antara lima hingga sepuluh minit sahaja.
Beliau berkata, semua anggota sudah digerakkan untuk mengesan penjenayah terbabit.
0 Komentar untuk "Lelaki cedera halang perompak-sabah"

 
Copyright © 2014 News Speed - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info