Ada 'Tangan Tuhan' dalam penemuan kotak hitam QZ8501

FOTO menunjukkan bahagian badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar Laut Jawa yang ditemui Tentera Laut Singapura baru-baru ini.
JAKARTA: Kejayaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terutama Kapal KN Jadayat, yang menemukan kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 Isnin lalu untuk data rakaman penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) sehari selepas itu dianggap bukan operasi yang mudah. Ini dinyatakan oleh Penyelaras Operasi SAR KN Jadayat, Tonny Budiono, yang menyifatkan misi pencarian penuh getir kerana keadaan cuaca dan laut yang sentiasa tidak menyebelahi pasukan SAR. "Cuaca dan kuatnya arus laut jadi faktor penghalang utama pencarian kotak yang bila-bila masa boleh berdepan bahaya. "Ada 'tangan Tuhan' di situ, setiap hari cuaca dan arus laut sangat luar biasa," katanya menceritakan pengalamannya mencari kotak hitam AirAsia QZ8501 di Kementerian Perhubungan Laut, hari ini. Memetik berita Kompas.com, Budiono berkata, keadaan gelombang laut di kawasan pencarian kotak hitam pesawat amat sukar dijangkakan. Sehubungan itu, katanya, KN Jadayat hanya mempunyai masa mulai 5.30 pagi sehingga 10.30 pagi untuk melakukan pencarian. "Ombak masih tinggi. Susah diramal. Makanya, kita kerja hanya antara jam 5.30 hingga 10.30 pagi. Itu maksimum dan lebih daripada itu, arusnya kuat, gelombangnya tinggi," katanya. Beliau berkata, gelombang biasanya boleh mencapai ketinggian sehingga lima meter dan keadaan itu sangat membahayakan penyelam. "Namun pasukan selalu memanjatkan doa dan tidak putus berharap agar kotak hitam ditemukan dan diangkat," katanya.
0 Komentar untuk "Ada 'Tangan Tuhan' dalam penemuan kotak hitam QZ8501"

 
Copyright © 2014 News Speed - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info